Halaman

Khamis, 18 November 2010

SATU PELURU SATU MUSUH



Meningkatkan kefahaman pelajar untuk menguasai hukum nun mati dan tanwin
melalui kaedah “Satu Peluru Satu Musuh”

Oleh : Zuraini Binti Hamisan@Khair


1.0 PENGENALAN

Saya mengajar Pendidikan Islam di sesi petang bagi Tingkatan 1 dan 2. Antara tajuk di bahagian tilawah ialah bahagian tajwid yang menjadi asas bacaan al-Quran. Pada peringkat permulaan saya memberi tumpuan pada hukum nun mati dan tanwin. Untuk menentukan bacaan yang betul setiap hukum mesti dikuasai dengan baik. Hukum-hukum tersebutlah yang menentukan bunyi bacaan yang betul. Hukum tajwid dipelajari bukan sebagai satu silibus semata-mata. Itulah yang saya tekankan kepada pelajar.

Berdasarkan kepada beberapa sesi bacaan tilawah, saya dapati pelajar lemah bacaan dalam membunyikan hukum nun mati yang terdapat dalam ayat. Apabila disoal mengapakah anda membacanya demikian, apakah hukum pada potongan tersebut, ternyata mereka tidak dapat mengemukakan jawapan yang betul. Mereka pernah mendengar hukum asas tersebut tetapi tidak dapat membezakan antara satu sama lain. Mereka juga gagal mengemukakan huruf-huruf milik hukum tersebut.

Daripada masalah itu, saya sangat terpanggil untuk melakukan sesuatu yang boleh membantu mereka dalam mendalami hukum tajwid. Sekurang-kurangnya saya ingin mereka dapat mengenali apakah yang dikatakan izhar, apakah idgham, ikhfa’ dan juga yang disebut sebagai iqlab.



2.0 OBJEKTIF

Inovasi ini dihasilkan ber
Melalui kajian ini, diharap pelajar dapat :
a. membezakan antara izhar, ikhfa’ , idgham dan bahagiannya serta iqlab
b. membunyikan potongan ayat dengan betul
c. mengenal pasti hukum nun mati dan tanwin berdasarkan kepada
huruf-huruf berkaitan
d. menjawab latihan berkaitan hukum nun mati dan tanwin dengan betul


3.0 SASARAN KAJIAN

Kajian ini melibatkan 10 orang pelajar lelaki dan perempuan yang gagal menguasai hukum nun mati dan tanwin di dalam kelas Tingkatan 2 Bestari. Mereka dikesan melalui dua peringkat. Pertama, ujian bacaan, dan kedua, dari latihan yang diberikan. Sebahagian besar daripada mereka tidak dapat bezakan langsung antara setiap hukum.



4.0 MASALAH KAJIAN

Antara masalah yang sukar ialah pengetahuan asas mereka yang sangat lemah. Guru terpaksa menerangkan tajuk daripada awal. Selain itu juga pelajar pula terdiri dari pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Tahap pembacaan al-Quran mereka juga amat lemah. Malah ada yang terlalu lemah yang hanya mampu mengenal huruf sahaja. Masalah kehadiran juga menjadi salah satu masalah yang dihadapi oleh guru. Pelajar yang kehadirannya tidak tetap didapati sukar menerima pelajaran kerana mungkin akan ketinggalan beberapa sesi penerangan dan latihan guru pada hari dia tidak hadir



5.0 TINDAKAN KAJIAN


5.1 Tinjauan masalah

Guru mengenal pasti sasaran melalui dua cara iaitu ujian bacaan dan latihan bertulis yang diberikan. Melalui latihan bacaan jelas menunjukkan pelajar sangat lemah membunyikan hukum dengan betul. Apabila disoal hukum apakah itu, mereka tidak dapat menjawab dengan baik.

Ujian bacaan dilakukan secara individu. Ini sangat penting untuk menilai tahap bacaan pelajar. Daripada 35 orang pelajar, hanya lima orang pelajar sahaja yang dikatagorikan sebagai baik,

Guru berusaha mencari idea bagaimanakah cara terbaik untuk mengajak pelajar memahami kaedah dengan baik.


5.2 Pelaksanaan aktiviti

Kaedah yang guru cuba gunakan ialah “Satu peluru satu musuh”. Untuk mencapai aktiviti tersebut memerlukan beberapa langkah.

5.2.1 Membuat jadual

Untuk memudahkan pelajar mengenal pasti jawapan, guru menyediakan hukum nun mati dalam bentuk jadual. ( Jadual 1) Pada mulanya guru cuba hendak bergantung dengan jadual sahaja. Malangnya pelajar masih keliru untuk mengenal pasti jawapan. Terfikir guru beberapa bentuk latihan yang akan diusahakan untuk membantu pelajar menjawab soalan dengan mudah.

Untuk mencari jawapan dalam jadual, pelajar pelu mengenal konsep nun mati dan tanwin. Tidak mudah bagi semua pelajar kenal dengan cepat. Terutama Al-Quran yang menggunakan konsep rasam ‘Uthmani sukar dikuasai oleh pelajar. Beberapa sesi latihan guru berikan kepada pelajar yang dikenali sebagai lapang sasar terbuka dan tertutup.

5.2.2 Lapang sasar terbuka

Sasaran dalam latihan ini ialah mencari nun mati dan tanwin sahaja. Tujuan latihan ini ialah untuk membiasakan pelajar melihat, mencari dan mengenal nun mati dan tanwin sebelum diberikan senjata untuk menyerang musuh. Pernah guru mengajak pelajar pergi lebih jauh, tetapi macam mana hendak pergi berperang kalau persediaan tidak rapi.

Latihan ini tidak mengambil masa yang lama. Dua kali pertemuan melibatkan sekitar dua puluh soalan (Jadual 2) dapat membantu pelajar lebih yakin dengan sasaran. Setiap nun mati atau tanwin dibulatkan atau dengan kata lain diberikan senjata tanpa peluru.

Kebanyakan masalah ialah untuk membezakan nun mati dengan nun yang hidup. Dalam kaedah rasam ‘Uthmani, nun mati tidak berbaris. Itu yang ditekankan oleh guru agar nun mati lebih mudah dikenali. Manakala setiap nun yang berbaris bukan sasaran.

Setelah guru yakin dengan kebolehan mereka mengenal sasaran, guru beralih kepada medan sebenar iaitu lapang sasar tertutup.

5.2.3 Lapang sasar tertutup

Untuk langkah seterusnya, dengan menggunakan soalan yang sama, guru mengajak pelajar belajar menembak. Setiap nun mati atau tanwin yang dibulatkan layak diberikan sebutir peluru. Sasaran kali ini ialah huruf selepasnya. Guru mengajak pelajar menembak bersama-sama dengan memastikan hanya huruf pertama yang paling hampir sahaja. Semasa menembak anak panah dibuat dan mengenai sasaran. Sasaran yang tepat akan mengenai musuh yang dikehendaki. Guru mengingatkan pelajar agar menembak dengan berhati-hati kerana berkemungkinan tertembak salah orang jika sasaran tidak tepat atau salah sangka.

Pelajar yang ghairah menembak selalu berlaku kesilapan. Mereka yang tidak berhati-hati peluru akan tersasar lebih jauh dan mengakibatkan jawapan yang salah. Sasaran yang terkena tembakan hendaklah dianalisa dalam jadual untuk mendapatkan jawapan hukum yang dikehendaki.
Contoh :
من حوله nun mati dibulatkan dan diberi peluru,
من حوله sasaran seterusnya ialah huruf selepasnya iaitu huruf ha,

من حوله
dengan merujuk ha dalam jadual, hukum nun mati di sini yang bertemu ha ialah izhar.

Dalam sesi latihan pertama (10 soalan) 16 orang pelajar betul semua soalan dan hanya 4 orang sahaja yang tidak mendapat markah penuh. Keputusan ini amat menggembirakan saya walaupun hanya kali pertama latihan penuh.

Dalam sesi latihan kedua pula, (10 soalan) jumlah lulus semua soalan meningkat kepada 18 orang. Dua orang yang tertinggal itu saya panggil dan tanyakan di mana kesilapan mereka. Mereka menjawab mereka agak keliru dengan nun mati yang tidak berbaris itu. Saya berikan kepada mereka penerangan semula dari awal dengan beberapa contoh agar mereka lebih tampak dengan jelas.

Saya berikan mereka latihan ketiga (10 soalan), Alhamdulillah kesemuanya dapat menjawab dengan betul.

6.0 DAPATAN KAJIAN

Berdasarkan keputusan ujian-ujian dan analisis yang telah dijalankan, saya mendapati teknik “Satu peluru satu musuh” yang saya perkenalkan kepada pelajar mudah diikuti, memperoleh jawapan yang tepat, dan mampu memberikan keyakinan kepada pelajar. Pelajar boleh lakukan sendiri latihan tanpa perbincangan dengan rakan yang lain. walaupun terpaksa bergantung kepada jadual hukum nun mati dan tanwin, sekurang-kurangnya mereka kenal dengan pemerhatian mereka sendiri bahawa sesuatu hukum berubah mengikuti jenis huruf yang ditemui.

Hasil kajian tindakan ini juga telah menunjukkan hasil dan perkembangan positif bahawa objektif boleh dicapai dengan kepelbagaian teknik yang menarik. Guru juga telah mengaplikasikan di kelas yang lain untuk membantu pelajar mendapatkan peningkatan kefahaman yang maksima.

7.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Untuk peringkat seterusnya, saya berharap diadakan kajian bagaimana cara terbaik untuk membunyikan antara hukum nun mati dan tanwin. Memperkenalkan kepada pelajar beza antara hukum tidak sesukar membunyikannya. Ini disebabkan kerana ia memerlukan kemahiran mendengar yang baik dan kesungguhan yang jitu dari pelajar itu sendiri bagaimana hendak merealisasikan bunyi tersebut dalam sebutan. Wallahu a’lam.

Isnin, 18 Oktober 2010

BAHA’-MALA : Meningkatkan Kemahiran Murid dalam Penguasaan Hukum Nun Mati dan Tanwin (NU-MAWIN)

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
BAHA’-MALA : Meningkatkan Kemahiran Murid dalam Penguasaan Hukum Nun Mati dan Tanwin (NU-MAWIN)

OLEH :
Nor Azmah bt Jaapar
Panitia Pendidikan Islam
SMK Kempas, Johor Bahru.


1.0 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu / Latar Belakang Kajian

Pada P&P tajuk hukum Tajwid tahun lepas, saya dapati ramai pelajar lemah dalam menguasai kaedah Hukum Tajwid. Antara kelemahan yang dikenalpasti ialah pelajar gagal dalam mengaplikasi hukum Nun Mati dan Tanwin kerana kesilapan dalam menentukan huruf selepas Nun Mati atau Tanwin disamping pelajar tidak memahami lansung hukum Nun Mati dan Tanwin kerana buta Al-Quran. Kelemahan ini berpunca daripada sikap pelajar yang lemah dalam mengingat dan menguasai fakta penting serta tidak dapat mengenal pasti huruf-huruf selepas Nun Mati dan Tanwin bagi menentukan hukum tajwid yang dikehendaki.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik dan efektif juga dikatakan antara punca kelemahan tersebut. Ini kerana guru banyak menggunakan kaedah penerangan biasa menyulitkan lagi kefahaman pelajar di samping tiada kaedah yang sesuai untuk memudahkan pemahaman pelajar.
Kesan daripada kelemahan ini menyebabkan pelajar gagal menjawab soalan peperiksaan tahunan terutamanya SPM kerana tajuk ini merupakan tajuk wajib yang perlu dijawab oleh pelajar dalam Kertas 2 (10 markah).


2.0 Fokus Kajian

Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam hukum tajwid, namun saya hanya akan fokuskan kajian ini kepada masalah penggunaan Hukum Nun Mati dan Tanwin (NU-MAWIN). Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam menentukan hukum ini ialah :

• Gagal mengenal pasti huruf نْ, نatau Tanwin ٍ ٌ ً
• Keliru dalam menentukan huruf selepas نْ, نatau Tanwin ٍ ٌ ً

• Pelajar tidak menjawab soalan Hukum Tajwid

Dengan membantu pelajar mengingat komponen huruf dalam hukum ini dengan baik serta tepat dalam menentukan huruf selepas hukum ini, saya yakin pelajar boleh menjawab soalan yang dikemukakan dan membantu pelajar untuk lulus dengan baik dalam Kertas 2 Pendidikan Islam SPM.


3.0 Objektif Kajian

Selepas kaijian ini selasai dijalankan, pelajar-pelajar diharap akan mencapai objektif berikut :

i. Objektif Umum
Meningkatkan nilai GPS sekolah dengan peningkatan peratus kelulusan
Pendidikan Islam.

ii. Objektif Khusus
• Membantu pelajar mengingat komponen huruf dalam Hukum Nu-Mawin dengan baik bagi mengelakkan kekeliruan dalam menentukan hukum tajwid
• Meningkatkan penguasaan pelajar dalam tajuk Hukum Tajwid Nun Mati dan Tanwin
• Meningkatkan peratus pelajar yang mendapat markah yang cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam

4.0 Kumpulan Sasaran

Kajian ini melibatkan 12 orang pelajar Islam tingkatan 5PS1

5.0 Strategi Yang Dicadangkan

5.1 Tinjauan Masalah

Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil tinjauan terhadap masalah yang dikenal pasti akan dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam masalah pelajar. Tinjauan dilakukan dengan cara berikut :

• Latihan Pengukuhan Topikal selepas P&P dijalankan
• Soal selidik tahap pemahaman pelajar terhadap topik yang diajar










Laporan Kajian BAHA’-MALA

Tindakan yang telah saya jalankan ialah seperti berikut :


Aktiviti 1 :
• Saya menjalankan P&P hukum tajwid dalam kelas. Saya menerangkan tentang komponen-kompenon huruf dalam Hukum Nun Mati dan Tanwin (NU-MAWIN) dengan menggunakan singkatan BA HA’ MA dan LA

• Pelajar mencatat huruf-huruf dalam kompenon Hukum Nu-Mawin dalam bahan edaran Pengurusan Grafik 1 dan melaksanakan latihan pengukuhan. Kata kunci untuk huruf –huruf tersebut adalah BA (Hukum Iqlab), Ha’ (Izhar Halqi), Ma (Idgham Maal Ghunnah) dan La (Idgham Bila Ghunnah). Huruf yang tidak tersenarai dalam hukum-hukum tadi adalah komponen huruf bagi Hukum Ikhfa' Hakiki.
a. Pelajar perlu membulatkan sema huruf ن, نatau Tanwin yang di temui
dalam ayat. Contoh :
ولِىٌ حَمِيم

مِن فَوَاق
b. Meletakkan anak panah pada huruf selepas huruf ن, نatau Tanwin dan
menggariskannya. Huruf tersebut perlulah huruf yang berbaris.

ولِىٌ حَمِيم

مِن فَوَاق

c. Menentukan hukum tajwid dengan merujuk kepada edaran Pengurusan Grafik
1.
ولِىٌ حَمِيمIzhar Halqi – Dengung :

مِن فَوَاق : Ikhfa Hakiki – Dengung

Aktiviti 2 :
• Guru mengedarkan bahan edaran Pengurusan Grafik 2 Hukum Nun Mati dan Tanwin sebagai pengukuhan untuk memastikan pelajar dapat menyenaraikan huruf-huruf dalam Hukum Nu-Mawin.

• Pelajar mengimbas kembali pelajaran lepas dengan melengkapakan bahan edaran Pengurusan Grafik 2

Aktiviti 3 :
• Guru mengedarkan soalan ujian sebagai pengayaan
• Pelajar menjawab soalan ujian tanpa merujuk kepada edaran Pengurusan Grafik
• Guru menganalisis pencapaian pelajar

Berdasarkan pemerhatian yang saya jalankan, kaedah ini telah memudahkan pelajar mengenalpasti hukum Nun Mati dan Tanwin (NU-MAWIN) dengan lebih mudah lagi disamping aktiviti yang agak menarik pelajar berbanding PNP Hukum Tajwid yang biasa digunakan. Kaedah kekerapan mengulang-ulang komponen-kompenon huruf dalam Hukum Nun Mati dan Tanwin membolehkan pelajar mengingat dengan mudah.Selain daripada itu, pelajar juga telah didedahkan dengan cara yang mudah untuk mengenal huruf Nun Mati dan Tanwin dalam setiap petikan ayat Al-Quran yang dibaca.

Di samping itu, kaedah ini juga telah saya gunakan kepada pelajar-pelajar 5 Sains yang lemah dalam hukum Nun Mati dan Tanwin. Berdasarkan pemerhatian, kaedah ini telah menunjukkan hasil dan perkembangan yang amat memuaskan dimana pelajar dapat meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap hukum tajwid yang asas.

Berdasarkan kajian yang telah saya laksanakan, saya berasa masih perlu melakukan kajian tindakan dalam mengatasi masalah pembelajaran dalam tajuk Hukum Tajwid yang sukar. Oleh itu, saya bercadang untuk menjalankan kajian seterusnya bagaimana pelajar boleh membezakan hukum Mad Wajib Mutassil, Mad Jaiz Munfasil dan Mad Lazim dengan mudah.


Disediakan oleh
NOR AZMAH BINTI JAAPAR
Panitia Pendidikan Islam
SMK Kempas.

Rabu, 6 Oktober 2010

AL-FATIHAH



Ramadan kali ini kami menyaksikan kehilangan yang sukar dicari ganti. Almarhum Kamal Ruzaman telah pergi dijemput Ilahi dalam satu kemalangan ngeri di sekitar Taman Johor-Taman Cempaka beberapa hari sebelum Aidil Fitri. Almarhum yang kami kenali dengan panggilan mesra ‘Along’ ialah seorang insan yang berhati mulia. Sifatnya yang periang amat menyenangkan kami. Terbayang-bayang senyuman manja dan tawa mesranya. Pemergiannya sangat kami rasai terutama dalam kumpulan Nasyid Al-Kauthar.

Beliau yang bersuara lantang berperanan di barisan utama kumpulan kami. Hilai tawanya sering mengisi ruang sepi yang kami alami baik dalam latihan mahupun ketika saat-saat getir menghadapi pertandingan. Sifatnya yang mudah mesra amat kami senangi. Pencapaian terbaik kami bersama beliau ialah ketika memenangi johan dalam Pertandingan Nasyid anjuran UMNO di Dewan Sri Rahmat Johor Bahru.




Kenangan terakhir kami pula ialah dalam pertandingan peringkat Zon Skudai di SMK Taman Mutiara Rini. Kejayaan naib johan di situlah yang menempatkan Al-Kauthar ke pertandingan peringkat daerah Johor Bahru yang diadakan di SMK Bukit Indah. Namun beliau tidak menyertai pertandingan tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Kami amat menghargai peranan beliau dalam Al-Kauthar. Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.



Suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah beliau pagi itu ketika tiba masa unuk membawa jenazah ke kawasan perkuburan Islam Bukit Alif. Kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai memenuhi halaman rumah. Beberapa orang guru turut kelihatan untuk memberikan penghormatan untuk beliau. Imam Masjid Taman Kempas mengetuai solat jenazah di ruang tamu.

Pengetua SMK Kempas Hj Buni Bin Sunade turut serta dalam solat jenazah pagi itu. Ramai yang tidak dapat menahan kesedihan ketika menyaksikan jenazah diusung masuk ke dalam van jenazah.





Itulah kenangan terakhir bersama beliau. Semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang beriman, amin.

Sabtu, 2 Oktober 2010

SUMBANGAN RAYA 2010

pada hari Khamis 2 Sept 2010, pihak Panitia Pendidikan Islam mengadakan majlis menyampaikan sumbangan raya kepada pelajar terpilih dari kalangan anak yatim dan yang kurang berkemampuan. Majlis ringkas tersebut diadakan di Bilik Wawasan dan disempurnakan oleh Tuan Pengetua, Tn Hj Buni Bin Sunade. Pihak Panitia dan SMK Kempas merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan berupa wang dan keperluan harian. Pihak Panitia juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengetua yang sudi menyampaikan sumbangan.

Pengetua menyampaikan ucapan sebelum menyampaikan sumbangan.




barisan pelajar lelaki dan perempuan yang menerima sumbangan




semoga sumbangan yang diterima digunakan ke arah kebaikan.

IHYA' RAMADAN 1431H

IHYA' RAMADAN 1431H

MAJLIS KHATAM AL-QURAN

bermula dengan sesi pendaftaran, bermulalah program Ihya'Ramadan yang julung kalinya diadakan di SMK Kempas. Program kali melibatkan pelajar tingkatan 3 dan 5 secara langsung.



Program dimulakan dengan Majlis Khatam al-Quran, majlis dipimpin oleh pelajar tingkatan 4 dan 5. Para ibu bapa turut menyertai majlis tersebut di dewan. Ustaz Suhaimi dan Ustaz Edham turut membantu pelajar memimpim majlis tersebut.






IFTAR JAMAI'E

Para hadirin berbuka puasa dengan minuman ringan dan tamar di dewan sahaja untuk menjimatkan masa. Selepas solat Maghrib berjamaah para hadirin dipersilakan ke kantin untuk makan malam. Acara makan malam berjemaah di kantin menggunakan dulang malam itu sungguh meriah. Suasana kemesraan terjalin antara guru, ibu bapa dan pelajar.






SOLAT TARAWIH DAN SOLAT HAJAT PERDANA



Selepas selesai makan malam, program diteruskan dengan solat Isyak, solat terawih dan solat hajat. Solat berjemaah itu dipimpin oleh Imam Masjid Taman Kempas. Semoga Allah mengabulkan doa-doa kami tanpa hijab. Amin.

suasana makmum yang melimpah ke luar dewan diambil dari tingkat satu