Assalamualaikum. Ahlan Wa Sahlan kepada semua.....
Khamis, 18 November 2010
SATU PELURU SATU MUSUH
Meningkatkan kefahaman pelajar untuk menguasai hukum nun mati dan tanwin
melalui kaedah “Satu Peluru Satu Musuh”
Oleh : Zuraini Binti Hamisan@Khair
1.0 PENGENALAN
Saya mengajar Pendidikan Islam di sesi petang bagi Tingkatan 1 dan 2. Antara tajuk di bahagian tilawah ialah bahagian tajwid yang menjadi asas bacaan al-Quran. Pada peringkat permulaan saya memberi tumpuan pada hukum nun mati dan tanwin. Untuk menentukan bacaan yang betul setiap hukum mesti dikuasai dengan baik. Hukum-hukum tersebutlah yang menentukan bunyi bacaan yang betul. Hukum tajwid dipelajari bukan sebagai satu silibus semata-mata. Itulah yang saya tekankan kepada pelajar.
Berdasarkan kepada beberapa sesi bacaan tilawah, saya dapati pelajar lemah bacaan dalam membunyikan hukum nun mati yang terdapat dalam ayat. Apabila disoal mengapakah anda membacanya demikian, apakah hukum pada potongan tersebut, ternyata mereka tidak dapat mengemukakan jawapan yang betul. Mereka pernah mendengar hukum asas tersebut tetapi tidak dapat membezakan antara satu sama lain. Mereka juga gagal mengemukakan huruf-huruf milik hukum tersebut.
Daripada masalah itu, saya sangat terpanggil untuk melakukan sesuatu yang boleh membantu mereka dalam mendalami hukum tajwid. Sekurang-kurangnya saya ingin mereka dapat mengenali apakah yang dikatakan izhar, apakah idgham, ikhfa’ dan juga yang disebut sebagai iqlab.
2.0 OBJEKTIF
Inovasi ini dihasilkan ber
Melalui kajian ini, diharap pelajar dapat :
a. membezakan antara izhar, ikhfa’ , idgham dan bahagiannya serta iqlab
b. membunyikan potongan ayat dengan betul
c. mengenal pasti hukum nun mati dan tanwin berdasarkan kepada
huruf-huruf berkaitan
d. menjawab latihan berkaitan hukum nun mati dan tanwin dengan betul
3.0 SASARAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan 10 orang pelajar lelaki dan perempuan yang gagal menguasai hukum nun mati dan tanwin di dalam kelas Tingkatan 2 Bestari. Mereka dikesan melalui dua peringkat. Pertama, ujian bacaan, dan kedua, dari latihan yang diberikan. Sebahagian besar daripada mereka tidak dapat bezakan langsung antara setiap hukum.
4.0 MASALAH KAJIAN
Antara masalah yang sukar ialah pengetahuan asas mereka yang sangat lemah. Guru terpaksa menerangkan tajuk daripada awal. Selain itu juga pelajar pula terdiri dari pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Tahap pembacaan al-Quran mereka juga amat lemah. Malah ada yang terlalu lemah yang hanya mampu mengenal huruf sahaja. Masalah kehadiran juga menjadi salah satu masalah yang dihadapi oleh guru. Pelajar yang kehadirannya tidak tetap didapati sukar menerima pelajaran kerana mungkin akan ketinggalan beberapa sesi penerangan dan latihan guru pada hari dia tidak hadir
5.0 TINDAKAN KAJIAN
5.1 Tinjauan masalah
Guru mengenal pasti sasaran melalui dua cara iaitu ujian bacaan dan latihan bertulis yang diberikan. Melalui latihan bacaan jelas menunjukkan pelajar sangat lemah membunyikan hukum dengan betul. Apabila disoal hukum apakah itu, mereka tidak dapat menjawab dengan baik.
Ujian bacaan dilakukan secara individu. Ini sangat penting untuk menilai tahap bacaan pelajar. Daripada 35 orang pelajar, hanya lima orang pelajar sahaja yang dikatagorikan sebagai baik,
Guru berusaha mencari idea bagaimanakah cara terbaik untuk mengajak pelajar memahami kaedah dengan baik.
5.2 Pelaksanaan aktiviti
Kaedah yang guru cuba gunakan ialah “Satu peluru satu musuh”. Untuk mencapai aktiviti tersebut memerlukan beberapa langkah.
5.2.1 Membuat jadual
Untuk memudahkan pelajar mengenal pasti jawapan, guru menyediakan hukum nun mati dalam bentuk jadual. ( Jadual 1) Pada mulanya guru cuba hendak bergantung dengan jadual sahaja. Malangnya pelajar masih keliru untuk mengenal pasti jawapan. Terfikir guru beberapa bentuk latihan yang akan diusahakan untuk membantu pelajar menjawab soalan dengan mudah.
Untuk mencari jawapan dalam jadual, pelajar pelu mengenal konsep nun mati dan tanwin. Tidak mudah bagi semua pelajar kenal dengan cepat. Terutama Al-Quran yang menggunakan konsep rasam ‘Uthmani sukar dikuasai oleh pelajar. Beberapa sesi latihan guru berikan kepada pelajar yang dikenali sebagai lapang sasar terbuka dan tertutup.
5.2.2 Lapang sasar terbuka
Sasaran dalam latihan ini ialah mencari nun mati dan tanwin sahaja. Tujuan latihan ini ialah untuk membiasakan pelajar melihat, mencari dan mengenal nun mati dan tanwin sebelum diberikan senjata untuk menyerang musuh. Pernah guru mengajak pelajar pergi lebih jauh, tetapi macam mana hendak pergi berperang kalau persediaan tidak rapi.
Latihan ini tidak mengambil masa yang lama. Dua kali pertemuan melibatkan sekitar dua puluh soalan (Jadual 2) dapat membantu pelajar lebih yakin dengan sasaran. Setiap nun mati atau tanwin dibulatkan atau dengan kata lain diberikan senjata tanpa peluru.
Kebanyakan masalah ialah untuk membezakan nun mati dengan nun yang hidup. Dalam kaedah rasam ‘Uthmani, nun mati tidak berbaris. Itu yang ditekankan oleh guru agar nun mati lebih mudah dikenali. Manakala setiap nun yang berbaris bukan sasaran.
Setelah guru yakin dengan kebolehan mereka mengenal sasaran, guru beralih kepada medan sebenar iaitu lapang sasar tertutup.
5.2.3 Lapang sasar tertutup
Untuk langkah seterusnya, dengan menggunakan soalan yang sama, guru mengajak pelajar belajar menembak. Setiap nun mati atau tanwin yang dibulatkan layak diberikan sebutir peluru. Sasaran kali ini ialah huruf selepasnya. Guru mengajak pelajar menembak bersama-sama dengan memastikan hanya huruf pertama yang paling hampir sahaja. Semasa menembak anak panah dibuat dan mengenai sasaran. Sasaran yang tepat akan mengenai musuh yang dikehendaki. Guru mengingatkan pelajar agar menembak dengan berhati-hati kerana berkemungkinan tertembak salah orang jika sasaran tidak tepat atau salah sangka.
Pelajar yang ghairah menembak selalu berlaku kesilapan. Mereka yang tidak berhati-hati peluru akan tersasar lebih jauh dan mengakibatkan jawapan yang salah. Sasaran yang terkena tembakan hendaklah dianalisa dalam jadual untuk mendapatkan jawapan hukum yang dikehendaki.
Contoh :
من حوله nun mati dibulatkan dan diberi peluru,
من حوله sasaran seterusnya ialah huruf selepasnya iaitu huruf ha,
من حوله
dengan merujuk ha dalam jadual, hukum nun mati di sini yang bertemu ha ialah izhar.
Dalam sesi latihan pertama (10 soalan) 16 orang pelajar betul semua soalan dan hanya 4 orang sahaja yang tidak mendapat markah penuh. Keputusan ini amat menggembirakan saya walaupun hanya kali pertama latihan penuh.
Dalam sesi latihan kedua pula, (10 soalan) jumlah lulus semua soalan meningkat kepada 18 orang. Dua orang yang tertinggal itu saya panggil dan tanyakan di mana kesilapan mereka. Mereka menjawab mereka agak keliru dengan nun mati yang tidak berbaris itu. Saya berikan kepada mereka penerangan semula dari awal dengan beberapa contoh agar mereka lebih tampak dengan jelas.
Saya berikan mereka latihan ketiga (10 soalan), Alhamdulillah kesemuanya dapat menjawab dengan betul.
6.0 DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan keputusan ujian-ujian dan analisis yang telah dijalankan, saya mendapati teknik “Satu peluru satu musuh” yang saya perkenalkan kepada pelajar mudah diikuti, memperoleh jawapan yang tepat, dan mampu memberikan keyakinan kepada pelajar. Pelajar boleh lakukan sendiri latihan tanpa perbincangan dengan rakan yang lain. walaupun terpaksa bergantung kepada jadual hukum nun mati dan tanwin, sekurang-kurangnya mereka kenal dengan pemerhatian mereka sendiri bahawa sesuatu hukum berubah mengikuti jenis huruf yang ditemui.
Hasil kajian tindakan ini juga telah menunjukkan hasil dan perkembangan positif bahawa objektif boleh dicapai dengan kepelbagaian teknik yang menarik. Guru juga telah mengaplikasikan di kelas yang lain untuk membantu pelajar mendapatkan peningkatan kefahaman yang maksima.
7.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Untuk peringkat seterusnya, saya berharap diadakan kajian bagaimana cara terbaik untuk membunyikan antara hukum nun mati dan tanwin. Memperkenalkan kepada pelajar beza antara hukum tidak sesukar membunyikannya. Ini disebabkan kerana ia memerlukan kemahiran mendengar yang baik dan kesungguhan yang jitu dari pelajar itu sendiri bagaimana hendak merealisasikan bunyi tersebut dalam sebutan. Wallahu a’lam.
Langgan:
Catatan (Atom)