Halaman

Sabtu, 2 April 2011

PROGRAM PENGUKUHAN SOLAT 2011

Salah satu agenda dalam Minggu Panitia Pendidikan Islam tahun ini ialah Program Pengukuhan Solat yang diadakan pada 30 April 2011 khusus kepada anak-anak Ting 1 dan 2. Seramai 30 orang pelajar terpilih untuk mengikuti program tersebut dari kelas yang berasingan lelaki dan perempuan.

Pelajar bersemangat mengikuti program tersebut. Kehadiran mereka yang datang awal menunjukkan kesungguhan untuk mengikuti program. Semoga kesungguhan itu tidak hanya lahir untuk hari ini dan semoga mereka benar-benar mengambil dari apa yang mereka pelajari.

Program yang lebih bersifat kepada bimbingan ini dipimpin oleh Ustaz Edham, Pn.Norlin dan Pn.Zuraini.Pelajar dibahagikan kepada tiga kelompok. Guru bertindak sebagai fasilitator di dalam kelompok itu. Buku PAFA diberikan percuma kepada mereka sebagai pendamping utama yang mampu memimpin mereka melaksanakan rukun kedua itu.

Pelajar juga dibawa melakukan praktikal wuduk. Bimbingan ini diharap terpahat di dalam lipatan sanubari rohani mereka sampai bila-bila. Apa yang lebih penting sebenarnya ialah bimbingan berterusan di luar sekolah kerana kehidupan mereka di sekolah hanya beberapa jam sahaja.



Selasa, 1 Mac 2011

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN 2011

2011 membuka tirai Panitia Pendidikan Islam dengan Latihan Dalam Perkhidmatan yang diadakan di Pusat Sumber pada 26 Febuari yang lalu. Ketua Panitia kami Pn. Nor Azmah mengetuai program dengan pengisian program yang padat.





Antara agenda utama dalam LDP tersebut ialah Plan-J yang diselaraskan oleh Penyelaras setiap Tingkatan. Perbincangan isu-isu semasa mengisi ruang perbincangan kami pada hari tersebut. Panitia mengalu-alukan kehadiran guru baru Ustaz Azizul dalam keluarga kami. semoga ikatan ukhwah yang terjalin sentiasa di bawah rahmat Allah selalu.

LDP yang bermula seawal jam 8 pagi berakhir dengan jamuan ringkas sebelum bersurai pada jam 12.30 tengahari.




Selasa, 25 Januari 2011

Selamat tahun baru hijrah

Di manakah kita tahun baru ini? Satu persoalan yang menuntut jawapan yang tersirat bukan sahaja tersurat. Tentu sahaja jawapan tersirat itu hanya kita dan pencipta sahaja yang tahu. Tirai 2010 yang dilabuhkan banyak meninggalkan kenangan pahit manis. Ada yang sukar dilupakan, ada yang telah dilupakan, malah ada yang terpaksa dilupakan , atau pun terlalu sukar untuk diingati. Tidak lupa juga wajah-wajah comel pelajar-pelajar atau bekas-bekas pelajar yang bayangan mereka datang dan pergi dengan seribu kenangan.
Tahun 2011 ini, kita tetap berdiri sebagai seorang guru. Mungkin kita berada di sekolah yang sama, atau ada yang sudah berpindah. Mungkin kita akan masih berhadapan dengan murid yang sama. Adakah kita akan berdiri sebagai seorang guru yang sama? Menggunakan peralatan yang sama? Corak dan gaya pengajaran yang sama ? Inilah yang akan kita dalami dan halusi di tahun baru ini.
Saban tahun kita diajar untuk menanam azam baru pada setiap tahun baru. Kalau tidak diajar pun kita sendiri mengalami suasana baru yang meluap-luap rasanya untuk mencari kelainan. Tetapi apa yang berlaku ialah setiap tahun juga kita mengalami suasana hangat-hangat tahi ayam, atau langit tidak selalu cerah. Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik semua itu. Apakah azam yang salah ? Atau azam terlalu banyak atau tersilap membuat pilihan? Semakin lama difikirkan semakin banyak masalah yang timbul yang semakin sukar diselesaikan. Mari kita cuba selesaikan satu persatu.
Pertama, berazam kerana Allah. Pasanglah niat yang baik kerana Allah. Allah tidak akan mensia-siakan setiap kebaikan malah dikurniakan ganjaran lagi.
إنما الأعمـــال بالنـيـــات

Kedua, berusahalah dengan diiringi doa, atau dengan kata lain, berdoalah kepada Allah dan mengharap bantuanNya. Ini jelas dalam firman Allah swt,
ادعوني أستجب لكـــم
yang bermaksud berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku kabulkan doa kamu.
Ketiga dan terakhir, bertawakkal kepada Allah. Sekiranya kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah
فإن عزمت فتوكـــل على اللـــه
Sekiranya kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah.
Bahagian terakhir inilah yang selalu dilupakan. Konsep tawakkal pula bukan sekadar kata-kata, tidak cukup juga dengan hanya memasang niat.
Kegagalan meletakkan tawakkal yang tinggi kepada Allah merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan azam untuk dicapai.
Ayuh sahabat, Allah sentiasa bersama-sama kita.


(Risalah ini belum diterbitkan bagi tahun 2011)

KENANGAN 2010

2010 meninggalkan kita. Terlalu banyak kenangan suka duka yg datang dan pergi. Walaupun telah lama berlalu, masih banyak kenangan-kenangan yang masih terbayang-bayang di ruang mata.

MTQ bakal mengundang halaman kita sekali lagi. Sisipan tajuk telah pun diterima. Bengkel membuat teks syarahan pun akan bermula esok. Diharap teks-teks akan sampai ke tangan kita semua tidak lama lagi.

Namun sebenarnya kita tidak boleh mengharap teks tersebut semata-mata. Sedar akan kelemahan diri, namun kami sendiri pun bagai tiada kekuatan untuk mencipta dan menghasilkannya disebabkan kesibukan yang melanda.

Ingin kami kongsi kejayaan kami tahun lepas di ruang ini. Walaupun telah lama berlalu tapi oleh kerana baru siap, ia seolah-ola hmasih baru. Auranya masih lagi terasa. Kedudukan ketiga meletakkan kami di zon selesa dalam bidang nasyid. Kami ketandusan kepakaran dalam pelbagai aspek. Tapi wajah anak2 yang bagai merayu-rayu ketika mendatangi saya tempohari bagai menarik semula semangat yang hampir hilang. Terima kasih anak2ku.... kalian benar2 telah mengubat luka ini.

Berikut ialah laporan pertandingan yang kami sertai yang di peringat Daerah Johor Bahru.


Tarikh : 17 April 2010
Tempat : SMK Bukit Indah
Masa : 8.00 pagi- 2,00 petang

Tahun 2010 sekali lagi menyaksikan Kumpulan Al-Kauthar menyertai Pertandingan Nasyid Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Daerah Johor Bahru. Walaupun kedudukan Naib Johan di Peringkat Zon Skudai di zon selesa namun peluang ke peringkat daerah amat kami hargai. Kemenangan tempohari yang diibaratkan sebagai sekadar mengubat luka terasa hilang kesakitannya apabila menanti debaran ke peringkat daerah.

Saingan utama kami kali ini ialah tidak lain dan tidak bukan Johan Peringkat Zon Skudai yang mendahului kami tempohari iaitu dari SMK Taman Universiti, Sekolah Menengah Teknik Perdagangan dan Sekolah Menengah Tun Fatimah. Giliran undian pertama selalu menyebelahi kami. Namun “alah bisa tegal biasa” dan “alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan”, itulah kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Pn Zuraini selaku guru pengiring yang menemani kami sepanjang hari bersama Pn Zuraidah.

Latihan musim ini kami dibantu sepenuhnya dengan bimbingan saudara Mohd Mustakim bin Abdul Raof. Kami amat terhutang budi dengan tunjuk ajar dan kesabarannya membimbing kami. Beliaulah insan yang bertanggungjawab dalam latihan vokal dan persembahan. Kami tidak akan lupakan jasa dan sumbangan yang dicurahkan selama ini.

Kami lalui giliran dengan tenang. Alhamdulillah tiada cacat cela yang mengganggu emosi kami. Kami ikuti agenda pertandingan dengan menyaksikan kumpulan-kumpulan lawan. Berdebar-rasa rasa hati melihat kebolehan hebat mereka. Dalam hati kecil kami hanya mampu berdoa, sekiranya ada rezeki kami tahun ini, permudahkanlah Ya Allah…….. .

Keputusan diumumkan, kami akur dengan ketentuan Ilahi. Kedudukan ketiga di belakang SM Teknik Perdagangan dan SMK Taman Universiti diterima dengan hati yang terbuka. Al-Kauthar menempa kedudukan ketiga dalam Pertandingan Nasyid Sekolah-sekolah Menengah Johor Bahru tahun 2011. Kejayaan yang tidak akan kami lupakan .



















Isnin, 10 Januari 2011

AL-FATIHAH


(gambar hiasan)

Berakhlak mulia budi pekerti,
sopan santun manis berseri,
Pn.Rasnida yang pergi meninggalkan kami,
kenangan yang tinggal kan tetap abadi.

KENANGAN ABADI BUAT AL-MARHUMAH RASNIDA BT SATAR YANG MENINGGALKAN KAMI
PADA 3 JANUARI 2011

SMK KEMPAS (2001-2011)



Kematian adalah pasti,apabila ia datang, tidak dapat ditolak atau ditunda kehadirannya.

Isnin, 3 Januari 2011

CARTA ORGANISASI MAKDIS 2011 SMK KEMPAS JOHOR BAHRU

PENGERUSI
HJ BUNI BIN SUNADE

TIMB. PENGERUSI
PN ROGAYAH BINTI ABDULLAH

NAIB PENGERUSI I
EN. MOHD RAMDAN BIN MUSTAFFA

NAIB PENGERUSI II
PN. ZALINA BINTI MD TALIB

SETIAUSAHA
PN NORLIN BINTI KASBI

PENYELARAS KEWANGAN
PN NOR AZMAH BINTI JAAPAR

PENYELARAS DAKWAH
PN ZURAINI BINTI KHAIR







AHLI JAWATANKUASA MAKDIS

PN ROSLIZAH BINTI MOHD NORDIN TAN

PN ZURAIDAH BINTI ZAKARIA@MOHAMAD

PN WAN NORSIAH BINTI ABDULLAH

EN SUHAIMI BIN ABDUL RAHMAN

PN. NORLIN BINTI KASBI

EN MOHD.AZIEZUL BIN ABDULLAH

EN MD ZALI BIN ABU

PN ROSITA BINTI HUSIN

PN NURUL HUDA BINTI JOHDI

EN ABDUL KARIM BIN HJ MASIRAN

EN YA’AKOB BIN HJ ISMAIL

Khamis, 18 November 2010

SATU PELURU SATU MUSUH



Meningkatkan kefahaman pelajar untuk menguasai hukum nun mati dan tanwin
melalui kaedah “Satu Peluru Satu Musuh”

Oleh : Zuraini Binti Hamisan@Khair


1.0 PENGENALAN

Saya mengajar Pendidikan Islam di sesi petang bagi Tingkatan 1 dan 2. Antara tajuk di bahagian tilawah ialah bahagian tajwid yang menjadi asas bacaan al-Quran. Pada peringkat permulaan saya memberi tumpuan pada hukum nun mati dan tanwin. Untuk menentukan bacaan yang betul setiap hukum mesti dikuasai dengan baik. Hukum-hukum tersebutlah yang menentukan bunyi bacaan yang betul. Hukum tajwid dipelajari bukan sebagai satu silibus semata-mata. Itulah yang saya tekankan kepada pelajar.

Berdasarkan kepada beberapa sesi bacaan tilawah, saya dapati pelajar lemah bacaan dalam membunyikan hukum nun mati yang terdapat dalam ayat. Apabila disoal mengapakah anda membacanya demikian, apakah hukum pada potongan tersebut, ternyata mereka tidak dapat mengemukakan jawapan yang betul. Mereka pernah mendengar hukum asas tersebut tetapi tidak dapat membezakan antara satu sama lain. Mereka juga gagal mengemukakan huruf-huruf milik hukum tersebut.

Daripada masalah itu, saya sangat terpanggil untuk melakukan sesuatu yang boleh membantu mereka dalam mendalami hukum tajwid. Sekurang-kurangnya saya ingin mereka dapat mengenali apakah yang dikatakan izhar, apakah idgham, ikhfa’ dan juga yang disebut sebagai iqlab.



2.0 OBJEKTIF

Inovasi ini dihasilkan ber
Melalui kajian ini, diharap pelajar dapat :
a. membezakan antara izhar, ikhfa’ , idgham dan bahagiannya serta iqlab
b. membunyikan potongan ayat dengan betul
c. mengenal pasti hukum nun mati dan tanwin berdasarkan kepada
huruf-huruf berkaitan
d. menjawab latihan berkaitan hukum nun mati dan tanwin dengan betul


3.0 SASARAN KAJIAN

Kajian ini melibatkan 10 orang pelajar lelaki dan perempuan yang gagal menguasai hukum nun mati dan tanwin di dalam kelas Tingkatan 2 Bestari. Mereka dikesan melalui dua peringkat. Pertama, ujian bacaan, dan kedua, dari latihan yang diberikan. Sebahagian besar daripada mereka tidak dapat bezakan langsung antara setiap hukum.



4.0 MASALAH KAJIAN

Antara masalah yang sukar ialah pengetahuan asas mereka yang sangat lemah. Guru terpaksa menerangkan tajuk daripada awal. Selain itu juga pelajar pula terdiri dari pelbagai latar belakang pengetahuan agama. Tahap pembacaan al-Quran mereka juga amat lemah. Malah ada yang terlalu lemah yang hanya mampu mengenal huruf sahaja. Masalah kehadiran juga menjadi salah satu masalah yang dihadapi oleh guru. Pelajar yang kehadirannya tidak tetap didapati sukar menerima pelajaran kerana mungkin akan ketinggalan beberapa sesi penerangan dan latihan guru pada hari dia tidak hadir



5.0 TINDAKAN KAJIAN


5.1 Tinjauan masalah

Guru mengenal pasti sasaran melalui dua cara iaitu ujian bacaan dan latihan bertulis yang diberikan. Melalui latihan bacaan jelas menunjukkan pelajar sangat lemah membunyikan hukum dengan betul. Apabila disoal hukum apakah itu, mereka tidak dapat menjawab dengan baik.

Ujian bacaan dilakukan secara individu. Ini sangat penting untuk menilai tahap bacaan pelajar. Daripada 35 orang pelajar, hanya lima orang pelajar sahaja yang dikatagorikan sebagai baik,

Guru berusaha mencari idea bagaimanakah cara terbaik untuk mengajak pelajar memahami kaedah dengan baik.


5.2 Pelaksanaan aktiviti

Kaedah yang guru cuba gunakan ialah “Satu peluru satu musuh”. Untuk mencapai aktiviti tersebut memerlukan beberapa langkah.

5.2.1 Membuat jadual

Untuk memudahkan pelajar mengenal pasti jawapan, guru menyediakan hukum nun mati dalam bentuk jadual. ( Jadual 1) Pada mulanya guru cuba hendak bergantung dengan jadual sahaja. Malangnya pelajar masih keliru untuk mengenal pasti jawapan. Terfikir guru beberapa bentuk latihan yang akan diusahakan untuk membantu pelajar menjawab soalan dengan mudah.

Untuk mencari jawapan dalam jadual, pelajar pelu mengenal konsep nun mati dan tanwin. Tidak mudah bagi semua pelajar kenal dengan cepat. Terutama Al-Quran yang menggunakan konsep rasam ‘Uthmani sukar dikuasai oleh pelajar. Beberapa sesi latihan guru berikan kepada pelajar yang dikenali sebagai lapang sasar terbuka dan tertutup.

5.2.2 Lapang sasar terbuka

Sasaran dalam latihan ini ialah mencari nun mati dan tanwin sahaja. Tujuan latihan ini ialah untuk membiasakan pelajar melihat, mencari dan mengenal nun mati dan tanwin sebelum diberikan senjata untuk menyerang musuh. Pernah guru mengajak pelajar pergi lebih jauh, tetapi macam mana hendak pergi berperang kalau persediaan tidak rapi.

Latihan ini tidak mengambil masa yang lama. Dua kali pertemuan melibatkan sekitar dua puluh soalan (Jadual 2) dapat membantu pelajar lebih yakin dengan sasaran. Setiap nun mati atau tanwin dibulatkan atau dengan kata lain diberikan senjata tanpa peluru.

Kebanyakan masalah ialah untuk membezakan nun mati dengan nun yang hidup. Dalam kaedah rasam ‘Uthmani, nun mati tidak berbaris. Itu yang ditekankan oleh guru agar nun mati lebih mudah dikenali. Manakala setiap nun yang berbaris bukan sasaran.

Setelah guru yakin dengan kebolehan mereka mengenal sasaran, guru beralih kepada medan sebenar iaitu lapang sasar tertutup.

5.2.3 Lapang sasar tertutup

Untuk langkah seterusnya, dengan menggunakan soalan yang sama, guru mengajak pelajar belajar menembak. Setiap nun mati atau tanwin yang dibulatkan layak diberikan sebutir peluru. Sasaran kali ini ialah huruf selepasnya. Guru mengajak pelajar menembak bersama-sama dengan memastikan hanya huruf pertama yang paling hampir sahaja. Semasa menembak anak panah dibuat dan mengenai sasaran. Sasaran yang tepat akan mengenai musuh yang dikehendaki. Guru mengingatkan pelajar agar menembak dengan berhati-hati kerana berkemungkinan tertembak salah orang jika sasaran tidak tepat atau salah sangka.

Pelajar yang ghairah menembak selalu berlaku kesilapan. Mereka yang tidak berhati-hati peluru akan tersasar lebih jauh dan mengakibatkan jawapan yang salah. Sasaran yang terkena tembakan hendaklah dianalisa dalam jadual untuk mendapatkan jawapan hukum yang dikehendaki.
Contoh :
من حوله nun mati dibulatkan dan diberi peluru,
من حوله sasaran seterusnya ialah huruf selepasnya iaitu huruf ha,

من حوله
dengan merujuk ha dalam jadual, hukum nun mati di sini yang bertemu ha ialah izhar.

Dalam sesi latihan pertama (10 soalan) 16 orang pelajar betul semua soalan dan hanya 4 orang sahaja yang tidak mendapat markah penuh. Keputusan ini amat menggembirakan saya walaupun hanya kali pertama latihan penuh.

Dalam sesi latihan kedua pula, (10 soalan) jumlah lulus semua soalan meningkat kepada 18 orang. Dua orang yang tertinggal itu saya panggil dan tanyakan di mana kesilapan mereka. Mereka menjawab mereka agak keliru dengan nun mati yang tidak berbaris itu. Saya berikan kepada mereka penerangan semula dari awal dengan beberapa contoh agar mereka lebih tampak dengan jelas.

Saya berikan mereka latihan ketiga (10 soalan), Alhamdulillah kesemuanya dapat menjawab dengan betul.

6.0 DAPATAN KAJIAN

Berdasarkan keputusan ujian-ujian dan analisis yang telah dijalankan, saya mendapati teknik “Satu peluru satu musuh” yang saya perkenalkan kepada pelajar mudah diikuti, memperoleh jawapan yang tepat, dan mampu memberikan keyakinan kepada pelajar. Pelajar boleh lakukan sendiri latihan tanpa perbincangan dengan rakan yang lain. walaupun terpaksa bergantung kepada jadual hukum nun mati dan tanwin, sekurang-kurangnya mereka kenal dengan pemerhatian mereka sendiri bahawa sesuatu hukum berubah mengikuti jenis huruf yang ditemui.

Hasil kajian tindakan ini juga telah menunjukkan hasil dan perkembangan positif bahawa objektif boleh dicapai dengan kepelbagaian teknik yang menarik. Guru juga telah mengaplikasikan di kelas yang lain untuk membantu pelajar mendapatkan peningkatan kefahaman yang maksima.

7.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Untuk peringkat seterusnya, saya berharap diadakan kajian bagaimana cara terbaik untuk membunyikan antara hukum nun mati dan tanwin. Memperkenalkan kepada pelajar beza antara hukum tidak sesukar membunyikannya. Ini disebabkan kerana ia memerlukan kemahiran mendengar yang baik dan kesungguhan yang jitu dari pelajar itu sendiri bagaimana hendak merealisasikan bunyi tersebut dalam sebutan. Wallahu a’lam.