KAJIAN TINDAKAN
Nama dan Alamat Sekolah
Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas ,
Jalan Dataran 4, Taman Kempas ,
81200 Johor Bahru .
Nama Pengkaji
En. Edham Muhamad Nor
Tajuk Kajian
Penggunaan Akronim Bagi Mengingati Rukun Solat
Refleksi Pengajaran Dan Pembelajaran Lalu
Di dalam rukun solat terdapat tiga rukun utama iaitu rukun qauli (perkataan), fikli (perbuatan) dan qalbi (hati). Kesemua rukun-rukun solat ini ada 13 dan wajib dilaksanakan mengikut tertibnya. Seandainya rukun-rukun ini diabaikan , maka solat seseorang itu tidak sah dan wajib diganti. Di dalam rancangan pelajaran Tingkatan 1, pelajar dikehendaki mengingati kesemua rukun-rukun ini.
Oleh kerana rukun solat ini ada 13, maka terdapat pelajar yang tidak mampu untuk mengingati dengan sempurna dan melafazkannya semula walaupun mereka mampu untuk bersolat dengan baik. Ini adalah kerana mereka terkeliru antara satu rukun dengan rukun yang lain. Kegagalan mengingati kesemua rukun ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat menjawab soalan dengan baik dan jauh daripada itu akan mendapat kemurkaan dari Yang Esa.
Fokus Kajian
Kajian ini tertumpu kepada :
* memahami rukun solat satu persatu
* membaca bacaan tertentu bagi perbuatan tertentu
* mengingati rukun serta bacaan khusus bagi perbuatan tertentu
Semoga dengan menguasai tajuk ini nanti akan menyebabkan para pelajar akan lebih sempurna dalam melakukan ibadat solat serta lebih khusyuk dalam beribadat kepada Allah seterusnya membantu pelajar yang lemah untuk lulus di dalam peperiksaan.
Objektif Kajian
Setelah kajian ini dilakukan, diharapkan para pelajar akan dapat mencapai objektif berikut :
i. Objektif Umum
• Meningkatkan peratus kelulusan bagi Mata Pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 1.
ii. Objektif Khusus
• Meningkatkan kefahaman pelajar tentang kepentingan ibadat solat dalam kehidupan seharian untuk mencari keredaan Allah.
Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan 28 orang pelajar tingkatan 1 Erat yang terdiri daripada 15 orang pelajar lelaki dan 13 orang pelajar perempuan.
Tindakan Yang Dicadangkan
i. Tinjauan Masalah
Sebelum melaksanakan program seterusnya, satu tinjauan telah dilakukan bagi memahami dengan lebih mendalam permasalahan tersebut. Data dikutip dengan cara berikut :
a. Pra Ujian
• Menguji pelajar mengenalpasti rukun qauli, fikli dan qalbi
• Ini bertujuan untuk mengetahui tahap pemahaman mereka tentang tiga rukun tersebut
• Hasilnya, ramai pelajar mengetahui rukun tersebut secara umum.
b. Post Ujian
• Ujian sama dilakukan bagi mengetahui perbezaan keputusan. Hasilnya seramai 23 orang pelajar berjaya mengingati dan memahami rukun-rukun solat tersebut.
ii. Pelaksanaan Aktiviti
Langkah 1 :
• Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan
• Bersama mereka disertakan kad kilas yang tertera rukun solat beserta bacaannya
• Masa diberikan selama 5 minit untuk mengingati 3 rukun solat iaitu qauli, fikli dan qalbi beserta bacaannya
Langkah 2 :
• Pelajar dikehendaki mengingati akronim bagi rukun-rukun solat iaitu :
Huruf [ N, T, B, F ] , [ R, I, S ] , [ D2S, DTA ] , [ BTA, SN, S, T].
[Nak Tengok Bola Futsal],[Rabu Isnin Selasa],[Dan Sabtu , Dan Ahad],[Bawa Sama Semua Teman].
• Sesi ‘tasmik’ (memperdengarkan) di dalam kumpulan masing-masing diadakan agar pelajar cepat mengingati rukun-rukun tersebut
Langkah 3 :
• Setiap kumpulan memberikan 2 wakil masing-masing untuk memperdengarkan rukun-rukun solat kepada rakan-rakan yang lain di dalam kelas .
• Penggunaan akronim tersebut sebenarnya memudahkan para pelajar untuk mengingati fakta-fakta yang banyak di dalam semua mata pelajaran.
Pemerhatian
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kaedah yang telah dilaksanakan bagi membantu para pelajar mengingati fakta-fakta serta isi-isi penting di dalam pelajan Pendidikan Islam.
Pelajar juga berasa seronok dengan aktiviti yang dijalankan dan ramai yang telah berani untuk mencuba dan ikut serta dalam perbincangan yang diadakan. Maka diharapkan sikap positif mereka ini akan berterusan hendaknya.
Amin.
Wallahu Aklam.
terbaik para asatizah smk kempas
BalasPadam