Halaman

Isnin, 9 November 2009



Duduk bermunajat mengangkat tangan,
Doa dibaca mohon diperkenankan,
Usaha dan tawakkal paut bergandingan,
Kejayaan dunia akhirat kami harapkan.



Alhamdulillah, pada 2 Oktober 2009 SMK Kempas telah berjaya melaksanakan Program Solat Hajat anjuran Panitia Pendidikan Islam. Program ini ialah acara tahunan yang diadakan khusus kepada pelajar–pelajar Tingkatan 3 dan 5 bersama ibu bapa mereka. Sesi pendaftaran bermula seawal jam 6.00 petang. Sementara menunggu waktu Maghrib, ibu bapa dan pelajar mengambil tempat di dalam dewan.

Solat Maghrib ditunaikan secara berjamaah dengan dipimpim oleh Ustaz Suhaimi. Tetamu jemputan seperti para pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru turut kelihatan. Sambutan dari ibu bapa pelajar amat menggalakkan sehingga memenuhi ruang dewan. Selepas selesai menyempurnakan solat Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil mengisi ruang antara Maghrib dan Isyak.


Solat hajat malam itu dipimpin oleh Ustaz Muhammad Zain bin Watak dari Yayasan Pelajaran Johor. Sebelum menunaikan solat hajat beliau memberikan sedikit panduan kepada semua jamaah. Jamaah dari kalangan wanita terpaksa solat di bahagian luar dewan kerana sambutan yang sungguh luar biasa itu. Mereka hadir dengan tujuan yang satu iaitu mengharapkan keredaan Ilahi agar memberkati semua pelajar untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi.

Alhamdulillah, solat hajat selamat disempurnakan dengan baik selepas Isyak tanpa sebarang gangguan. Sebelum pulang semua jamaah dipersilakan ke kantin untuk mendapatkan sedikit jamuan. Terima kasih kepada semua yang hadir untuk turut sama menjayakan program tersebut. Semoga Allah memberkati segala usaha dan memperkenankan segala doa yang dipanjatkan…. Amin Ya Rabbal Alamin….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan