Halaman

Selasa, 25 Januari 2011

Selamat tahun baru hijrah

Di manakah kita tahun baru ini? Satu persoalan yang menuntut jawapan yang tersirat bukan sahaja tersurat. Tentu sahaja jawapan tersirat itu hanya kita dan pencipta sahaja yang tahu. Tirai 2010 yang dilabuhkan banyak meninggalkan kenangan pahit manis. Ada yang sukar dilupakan, ada yang telah dilupakan, malah ada yang terpaksa dilupakan , atau pun terlalu sukar untuk diingati. Tidak lupa juga wajah-wajah comel pelajar-pelajar atau bekas-bekas pelajar yang bayangan mereka datang dan pergi dengan seribu kenangan.
Tahun 2011 ini, kita tetap berdiri sebagai seorang guru. Mungkin kita berada di sekolah yang sama, atau ada yang sudah berpindah. Mungkin kita akan masih berhadapan dengan murid yang sama. Adakah kita akan berdiri sebagai seorang guru yang sama? Menggunakan peralatan yang sama? Corak dan gaya pengajaran yang sama ? Inilah yang akan kita dalami dan halusi di tahun baru ini.
Saban tahun kita diajar untuk menanam azam baru pada setiap tahun baru. Kalau tidak diajar pun kita sendiri mengalami suasana baru yang meluap-luap rasanya untuk mencari kelainan. Tetapi apa yang berlaku ialah setiap tahun juga kita mengalami suasana hangat-hangat tahi ayam, atau langit tidak selalu cerah. Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik semua itu. Apakah azam yang salah ? Atau azam terlalu banyak atau tersilap membuat pilihan? Semakin lama difikirkan semakin banyak masalah yang timbul yang semakin sukar diselesaikan. Mari kita cuba selesaikan satu persatu.
Pertama, berazam kerana Allah. Pasanglah niat yang baik kerana Allah. Allah tidak akan mensia-siakan setiap kebaikan malah dikurniakan ganjaran lagi.
إنما الأعمـــال بالنـيـــات

Kedua, berusahalah dengan diiringi doa, atau dengan kata lain, berdoalah kepada Allah dan mengharap bantuanNya. Ini jelas dalam firman Allah swt,
ادعوني أستجب لكـــم
yang bermaksud berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku kabulkan doa kamu.
Ketiga dan terakhir, bertawakkal kepada Allah. Sekiranya kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah
فإن عزمت فتوكـــل على اللـــه
Sekiranya kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah.
Bahagian terakhir inilah yang selalu dilupakan. Konsep tawakkal pula bukan sekadar kata-kata, tidak cukup juga dengan hanya memasang niat.
Kegagalan meletakkan tawakkal yang tinggi kepada Allah merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan azam untuk dicapai.
Ayuh sahabat, Allah sentiasa bersama-sama kita.


(Risalah ini belum diterbitkan bagi tahun 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan